Tentang Kami

Bagaimana idea XUsed bermula

XUsed bermula sebagai idea lanjutan daripada inisiatif keusahawanan yang dimulakan lebih awal tentang mempromosi penjualan/pembelian minyak masak terpakai (MMT). Inisiatif ini telah dimulakan oleh SamBio Resources Sdn Bhd (SBR), sebuah syarikat yang mengkhusus dalam mengumpul MMT dari rumah-rumah, kantin sekolah dan hospital di sekitar Kuantan Pahang. MMT yang dipungut kemudiannya dijual kepada syarikat yang menghasilkan produk biodisel. Usaha yang dijalankan oleh syarikat SBR telah mendapat sokongan pelbagai pihak, khususnya agensi Kerajaan seperti MAGIC, MyHarapan dan agensi-agensi kerajaan negeri. Kumpulan sasaran yang terdiri daripada komuniti terbiar seperti OKU, ibu tunggal dan keluarga berpendapatan rendah telah mendapat manfaat dari segi kewangan daripada inisiatif SBR ini. Ini telah membantu golongan kurang bernasib baik ini dalam menambah pendapatan mereka daripada penjualan MMT secara berkala (mingguan atau bulanan) dan mengurangkan beban kewangan mereka akibat daripada peningkatan kos sara hidup harian


Pembangunan XUsed telah memperluaskan skop bahan buangan, iaitu, tidak hanya terbatas kepada MMT sahaja, tetapi juga kepada bahan buangan lain seperti sisa makanan, aluminium, botol kaca, plastik, logam, bahan buangan-e (telefon mudah alih, perkakas komputer dll.) dan banyak lagi. Dengan menggunakan XUsed, aktiviti membeli dan menjual bahan buangan dapat dibuat secara atas-talian dan proses pembayaran antara pembeli dan penjual dapat dilakukan dengan lebih efisien dan sistematik